2009// Muzikaraya : Jom Balik Kampung!





"MUZIKARAYA'09 – Jom Balik Kampung!" yang telah dipentaskan di Auditorium Politeknik Singapura pada tanggal 23 Oktober 2009, merupakan sebuah acara untuk mengetengahkan bakat-bakat baru Sang Singa Purba dalam segi pementasan dan di belakang tabir.

Para penonton telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan dari para pelakon, penari dan juga dikir barat yang sungguh gah dan meriah. Tidak lupa juga kepada ahli - ahli muzik yang mengiringi pementasan dengan muzik yang dimainkan secara langsung. Pementasan yang telah diarah oleh ketua Sang Singa Purba, Wan Wahida, telah menghiburkan dan mampu mengalirkan airmata penonton dengan adegan-adegan yang dipena oleh Wan Md Haddad Salleh.

Acara yang telah berlangsung di Dewan Auditorium Politeknik Singapura, bertujuan untuk menutup tirai Syawal 1430 Hijrah dan mengumpulkan dana untuk para korban gempa bumi Sumatera di Padang & Pariaman, Indonesia. Ini adalah sebahagian dari kerja kemasyarakatan Sang Singa Purba melalui wadah seni pementasan.

Sang Singa Purba ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu terhormat kami; Encik J.A Halim dan isteri, penaja-penaja kami; Yayasan Mendaki, Keris Movements dan Kampong Collections dan tidak lupa juga kepada semua yang telah meluangkan masa untuk menghadiri pementasan kami yang sentiasa menyokong kami!

APA KATA PENONTON // AUDIENCE COMMENTARY:

"Kudos! Good Effort! Keep it up!"

"Very touching storyline"

" Sets us thinking, sets you guys apart.."


*comments were collated through anonymous surveys.Thank you to all for the surveys made.
*No comments were edited or changed in any ways.




Nantikan berita selanjutnya tentang Dana Para Korban Gempa Bumi Sumatera.

{Gambar - gambar dari pementasan boleh didapati di bahagian Gallery}
2009// Persandingan Puan Suriya

Pada tanggal 11 Oktober 2009, para penari Sang Singa Purba telah mempersembahkan tarian Mak Inang dan Zapin untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan Puan Suriya Bte Saad serta suaminya, Tuan Ali Bin Mad Asan.

Sang Singa Purba berharap para hadirin majlis dan keluarga pengantin amat terhibur dengan persembahan tersebut. Dengan itu, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengantin kerana menyambut kedatangan kami dengan tangan yang terbuka! Sang Singa Purba ingin mengucapkan tahniah juga kepada Puan Suriya Bte Saad serta suaminya, tuan Ali Bin Mad Asan dan Selamat Pengantin Baru.

2009// NDOC '09

Photobucket

5 Ogos 2009 merupakan penyambutan Hari Kebangsaan di Auditorium Politeknik Singapura. Para penari serta ahli muzik Sang Singa Purba telah bergabung tenaga untuk memeriahkan lagi suasana dengan sebuah persembahan!

Para penari telah memtaskan sebuah tarian yang berjudul Tudung Saji dengan didampingi muzik yang dimainkan secara langsung oleh ahli-ahli muzik SSP yang amat berbakat!

Sang Singa Purba amat bangga sekali dengan persembahan yang amat menghiburkan ini!

2009//CLAP!@Khatib
Pada tanggal 25 haribulan Julai 2009, para penari Sang Singa Purba telah memeriahkan acara ‘Clap! @ Khatib’ yang telah dianjurkan oleh CDC untuk menyambut hari keharmonian kaum. Acara ini dimeriahkan lagi dengan kesemua penari menjayakan sebuah persembahan yang penuh gah!

Sang Singa Purba amat berbangga dengan reka tari Nasuha Hamdi yang sulung yang berjudul ‘Tudung Saji’. Tahniah dan terima kasih kepada kesemua yang telah menjayakan acara tersebut.
2009// Sinopsis


Sinopsis Season 1 yang telah bertemahkan STOP telah memberi peluang kepada ahli-ahli SangSingaPurba untuk melakukan kajian supaya lebih memahami akan temah dan konsep yang telah diberikan.

Sekumtum Orked Putih, S.T.O.P & Komplot adalah tiga kumpulan yang telah mempersembahkan tafsiran masing-masing dengan penuh kreatif sekali!

2009 // Ulasan Seni Tari SSP
SSP JOGET!Sebuah inisiatif Sang Singa Purba adalah untuk memupuk seni tari pada kebanyakkan anggotanya yang bermula seawal tahun lalu. Kini, Tarian Melayu dalam Politeknik Singapura makin berkembang dengan inisiatif tersebut. Bermula dengan 8 pelajar yang baru berjinak namun bersemangat kental untuk mencuba sesuatu yang baru, kami telah pertama kali menampil ke atas panggung untuk produksi tahunan Sang Singa Purba iaitu Muzikarama III – Ini Macam Habislah.

Barisan penari-penari kami terdiri daripada aktivis-aktivis seni di dalam Sang Singa Purba. Kini, kami mempunyai seramai 20 penari-penari sepenuh masa. Di bawah adalah antara beberapa acara yang dimeriahkan oleh persembahan tarian dari Sang Singa Purba selewat tahun lalu.

  • Zapin Wangsa, Acara Hari Kebangsaan (SP)
  • Nona Singapura, Keramaian PAP (Marina Country Club)
  • Nona Singapura, Sambutan untuk penuntut dari Thailand (SP)
  • Chika Boom, Mr and Miss Singapore Polytechnic 08/09
  • Dia Datang & Joget Pucuk Pisang, Persandingan
  • Joget Pucuk Pisang, Persandingan
  • Zapin Gempak, Rumah Terbuka Politeknik Singapura 2009
  • Zapin Gempak & Mak Inang Pulau Kampai, Malam Kaum Hawa PPIS
  • Nona Singapura, Enrolment 09/10 (SP)
2009 // Seminar Sastera - Baca Puisi Nusantara
BACA PUISI SSPAhad March 8 2009, menyaksikan 3 ahli keluarga Sang Singa Purba mempersembahkan puisi di Taman Warisan bersama Cikgu Hasnah Adam dan juga rakan seangkatan Cikgu Qamarul. Acara yang dinamakan "Baca Puisi Nusantara" itu diadakan sempena Seminar Sastera 2009 Bengkel Puisi Tradisional, Seminar Islam dan Puisi. Dengan bertajuk Peranan Puisi dalam Masyarakat: Memperjuang dan Melestarikan Tingkat Apresiasi.

Sang Singa Purba diwakili Siti Zalinah Adam, Izzati Ismail dan Nur Filzah Abdul Rahim. Puisi yang dibacakan adalah puisi dari Riau tentang adab dan tradisi orang melayu. Antara pembaca puisi malam itu ialah penggiat seni En. Rafaat Hamzah dan penyanyi terkemuka En. Art Fazil. Professor Zefri dari Brunei Darulsalam dan Abg Bung Kancil, yang telah bersama dalam acara Semarak Kasturi 2008, juga telah turut serta pada malam tersebut. Berita Jam 8 di SURIA telah melaporkan tentang acara yang melestarikan bahasa dan budaya Melayu ini.


2009 // Projek Remaja Generasi Baru
Projek Remaja Generasi Baru (RGB) merupakan sebuah projek akhir tahun ketiga mahasiswi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Sebagai satu kerjasama di antara NTU, AMP, MENDAKI, NLB, Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Symantec dan juga Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) objektif RGB ialah untuk menyebarkan mesej dan mengajar para pemuda-pemudi tentang tata tertib serta peri pentingnya kawalan diri sewaktu melungsuri di alam maya.

Kumpulan RGB telah meminta bantuan SANG SINGA PURBA melalui MENDAKI untuk menulis dan menghasilkan sebuah pementasan ringkas yang dapat menyeliputi adegan-adegan khususnya:
  • Cara yang betul untuk memuat-turun lagu-lagu,
  • Tata tertib sewaktu meletakkan video di alam maya,
  • Penjagaan diri di alam maya
  • Akibat padah seandai undang-undang dilanggar
  • Akibat seseorang jika leka pada keselamatan diri di alam maya.
Skrip buat pementasan Projek RGB ini telah ditulis dan diarah oleh Ahli SSP Md Abdillah dan Maisarah Zulkifly. Ia juga telah disiarkan di SURIA, Berita Jam 8 pada tanggal 7 Mac 2009. SANG SINGA PURBA akan terus menyokong inisiatif seperti ini yang membantu dan mendorong masyarakat! Lebih penerangan boleh didapati di lelaman Projek RGB! Mari kita sama menyebarkannya!

SSP menyokong PROJEK RGB!

2008 // Minggu Festival Sang Singa Purba

Sang Singa Purba telah mempersembahkan Minggu Festival Sang Singa Purba yang pertama, yang dilangsungkan dari 26 ke 27 Julai 2008. Dengan daya untuk melestarikan budaya dan warisan Melayu Singapura, kami telah membawa persembahan Teater, Tarian & Muzik ke hadapan penonton umum secara percuma!

Muzikal ‘Nusa Satria – A Nation of Heroes’ mer
upakan sebuah persembahan teater berlagu berasaskan wira-wira Singapura yang telah mengorbankan segala kehidupan demi pembangunan dan keselamatan negeri kita. Antara watak yang diutamakan ialah Putera Sang Nila Utama, para pembina Wanita Samsui, peniaga Govindasamy dan juga perwira Leftenan Adnan Saidi. Oleh kerana ia sebuah persembahan umum yang diadakan di Tropics Atrium Suntec City, para pelakon kami telah penat-lelah mempelajari Bahasa kaum Cina dan juga India, diiringi rentak lagu pelbagai kaum yang dimainkan secara langsung! Secara tidak langsung pula, ia telah mengeratkan lagi pertalian rakyat Singapura yang telah menyaksi gelagat kami, sempena bulan keharmonian kaum itu. Ada ura-ura, kita akan mementaskan Nusa Satria sekali lagi di masa hadapan!

Pada malam 26 Julai itu pula, Para penari Sang Singa Purba telah memeriahkan acara ‘Clap!’ yang dianjurkan sempena bulan keharmonian kaum di Yishun South CDC. Kita telah menghidangkan tarian ‘Zapin Wangsa’ ciptaan Md Aizat Haykel. Sebagai sebuah acara umum juga, para penari kita rasa amat terkilan untuk menari disisi tarian kaum yang lain. Namun, dengan tekad Sang Singa Purba telah mengharumkan budaya Melayu dengan tarian yang cukup menarik dan rancak!


Hari Ahad keesokannya, para pemuzik Sang Singa Purba menghiburkan peserta-peserta bagi Seminar Masuri SN di Perpustakaan Kebangsaan. Dengan dendangan lagu ‘Puas-puas’ yang telah memenangi Pertandingan Ciptaan Lagu Piala Masuri SN itu, seminar itu makin bersemarak lagi! Kita juga telah mencipta sebuah lagu khas untuk pelopor Singapura yang bersandarkan puisi terbilang beliau; ‘Ini Nasi yang ku suap’. Natijahnya, siapa kata puisi ‘boring’ ?!


Terima kasih pada pihak penganjur HatchOne Productions, Singapore Polytechnic Events Management, Yishun South CDC dan juga pihak NTU/NIE yang telah berjaya mengendalikan persembahan kami. Jangan lupa untuk saksikan persembahan kami di masa hadapan dan menyokong persembahan seni Singapura!

2007 // WAWAS! Wawasan Anak Singa!

WAWAS! merupakan persembahan Sang Singa Purba di seberang tambak yang pertama. Diundang oleh Dewan Bahasa & Pustaka sempena acara Festival Teater Kecil, Sang Singa Purba telah menutup tirai festival itu dengan persembahan selama tiga hari di Stor Teater, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur dari 28 ke 30 Disember 2007.

Dengan tema Wawasan Anak Singa, Sang Singa Purba telah melakonkan semula tiga pementasan pendek yang merupakan naskah bagi pertandingan Gema Puisi Artistik 2005 dan 2007 yang juga telah memenangi beberapa anugerah.

Selain dari memberikan nafas baru dengan pelakon-pelakon yang berbeza, cabaran utama ialah mengendalikan persiapan di antara Singapura dan Malaysia. Kami juga bertu
ah untuk mementaskan kembali naskah Noor Hasnah Adam, “Wawasan Anak Geylang Serai” yang telah memenangi tempat pertama dengan kumpulannya dari Sekolah Menengah West Spring. Antara naskah yang dipersembahkan juga ialah “Dot.Dot.Dot.”,”Pelita” & “S.H.I.T”.

WAWAS! telah berjaya menarik perhatian penonton di Malaysia mahupun Singapura tentang teater underground seperti Sang Singa Purba melalui media massa yang telah memberikan liputan luas seperti lelaman Dewan Bahasa, SPH Berita Harian, Mediacorp TV12 Suria Segar, Mediacorp Radio Warna 94.2FM dan juga Majalah Dewan Budaya. Sang Singa Purba amat berterima kasih kepada Lee Foundation bagi tajaannya dan Kesatuan Guru Melayu Singapura bagi sokongannya

APA KATA PENONTON // AUDIENCE COMMENTARY

'Kesuluruhan bagus. Saya kagum dan yakin, SSP benar-benar memperjuangkan seni, budaya dan Melayu. Tahniah!' - Encik Yusnor Ef, PERKAMUS Singapura


'Begitu dekat dengan masyarakat Singapura dan berjaya mengungkapkan segala masalah Melayu di sana. Tahniah.' - Encik Wahab, Pengarah Teater Dewan Bahasa & Pustaka, KL


'Saya masih rasa meremang bulu roma biarpun sudah keluar dari dewan teater. Baik dan saya yakin boleh lebih cemerlang. Syabas.' - Encik Salleh Buang, Penggiat & Aktivis Teater Singapura

'Saya tak sangka teater WAWAS menarik. Saya sangkakan Teater ini pasti membosankan, sama seperti teater-teater lain yang pernah saya tonton. Berbaloi wang kami!' - Cik Haslinda, Pengurus CitiBank. Kuala Lumpur

*NOTA:
Tercatit di atas adalah petikan dari komen-komen beberapa penonton dan bukan ulasan. Semua komen telah diberikan secara bebas & kolektif kepada Penasihat kami, Noor Hasnah Adam.

2007 // Muzikarama III : Ini Macam Habislah

Dengan bertemakan kegilaan masyarakat Melayu yang diilhamkan dari naskah “S.H.I.T” 2007, Sang Singa Purba menarik perhatian sekali lagi dengan pementasan Muzikarama III: Ini Macam Habislah yang berlangsung di dewan auditorium Politeknik Singapura.

Naskah yang dipena dan diarah Md Nizal Ja’afar, Nadiah Sapiuna dan beberapa ahli Sang Singa Purba yang lain, merupakan satu kritikan sosial berbentuk humor dan mampu merobohkan dewan tersebut yang penuh sesak dengan penonton.

Yang nyata, pada akhir Ini Macam Habislah atau I.M.H, ramai penonton terkilan dengan pedoman dan nasihat yang serius diterapkan. Ini juga disertakan oleh kata-kata penutup tetamu terhormat kami, Encik Azman Shariff.

Ini Macam Habislah telah berjaya menengahkan bakat-bakat Sang Singa Purba melalui liputan Berita Harian yang amat membanggakan.

Sila klik sini untuk membaca artikel tersebut.

APA KATA PENONTON // AUDIENCE COMMENTARY:

"Superb Performance WOOP! WOOP!"

"Excellent work. I thoroughly enjoyed myself. Kudos to all involved!"

" Truly educational, inspirational in a light-hearted humour way. Good Job! Creative!"


*comments were collated through anonymous surveys.Thank you to all for the surveys made. *No comments were edited or changed in any ways.
2007 // Gema Puisi Artistik
Penyertaan kumpulan Sang Singa Purba dalam Gema Puisi Artistik 2007 merupakan sebuah inisiatif untuk mempersembahkan sebuah naskah yang radikal tetapi dengan cara yang candi. Tema peringkat akhir iaitu “Apabila Tok Selampit bercerita...” memberi inspirasi secara mendalam untuk menyentuh isu sosial masyarakat secara umum.

Berkat kerjasama dan ide-ide yang dilontarkan, lahirlah sebuah ‘persembahan tandas’ berbentuk satira berasaskan puisi ‘Jikalau Tok Selampit bercerita hari ini...’ karya Noor Hasnah Adam.

S.H.I.T – Selampit Hari Ini Tiada tulisan Wan Mohammed Haddad, arahan Muhd Shamil Haniff dan Nadhirah Wahid Saini, berjaya merangkul tempat ketiga dan sekaligus, bersama Naib Juara Politeknik Nanyang dan Juara Politeknik Ngee Ann, membanggakan arena teater Politeknik.

*Walaupun tajuknya sama, naskah S.H.I.T tiada kaitan dengan novel yang kontroversial tersebut. Namun, S.H.I.T tetap sebuah anjakan paradigma situasi masyarakat Singapura.


2006 // Muzikarama II : Pulangkanlah...
Di Sang Singa Purba, kami cuba sedaya upaya untuk mencabar diri dalam setiap pementasan baru. Antara asas untuk pementasan Muzikarama II: Pulangkanlah ialah untuk mencabar Sang Singa Purba dari segi belakang tirai diantaranya seperti kostum dan props.

Pulangkanlah ialah sebuah pementasan satira dengan meseg untuk mengimbas kembali zaman kanak-kanak yang penuh dengan dongeng dan fantasi. Ia telah menarik perhatian dengan adanya susunan muzik asli, dan juga kostum dan props yang berwarna-warni.

Muzikarama II: Pulangkanlah telah diserikan lagi oleh tetamu terhormat, Cik Marina Yusoff.

2006 // Awallah Dondang 2 : Melayu Ini Melayukah?

Awallah Dondang 2006 – Melayu Ini Melayukah? menengahkan bakat Sang Singa Purba di pentas mahupun belakang tirai. Ditulis dan dianjur oleh pelajar-pelajar dari NTU/NIE, ia merupakan suatu pementasan yang menerapkan unsur bangsawan dengan kisah-kisah dari Sejarah Melayu.




Ceritera seperti pelayaran Sang Nila Utama, Singapura dilanggar todak dan juga persoalan Laksamana Hang Tuah, mampu menghiburkan Dewan Teater Kreta Ayer yang penuh itu. Sang Singa Purba telah memeriahkan suasana dengan mementaskan kisah Badang yang bercorak muzikal dan walaupun ia berbentuk candi, nilai pedoman bagi pementasan Badang amat tinggi.
2006 // Gema Puisi Artistik
Gema Puisi Artistik 2006 menyaksikan Sang Singa Purba mementaskan dua teater eksperimentif demi memperluaskan potensi setiap ahli Sang Singa Purba dengan puratanya makin membesar. Walaupun kami tidak merangkul sebarang piala pada tahun tersebut, Sang Singa Purba tetap dapat menghiburkan penonton pada peringkat saringan mahupun peringkat akhir.

Peringkat saringan, dengan tema 'Bingkisan buat Remaja budiman' tulisan Md Ariffin Omar dan Maisarah Zulkifly menonjolkan unsur artistik di mana elemen-elemen budiman dimanusiakan dan bersuara.

Peringkat akhir pula, menyandarkan kepada puisi tokoh sastera Allahyarham Masuri S.N iaitu 'Ini nasi yang ku suap', naskah Md Ariffin Omar dan Ahmad Jihad, mengajak penonton untuk berfikir tentang proses perjalanan sebutir beras - merentas lautan dan negeri.

2005 // Muzikarama I : Di Manakan ku cari ganti?

Setelah 2 tahun kumpulan Sang Singa Purba menyertai pertandingan, berganding bahu bersama institusi setempat dan juga memeriahkan majlis-majlis undangan, akhirnya lahirlah sebuah fikiran untuk mencipta suatu pementasan bernas lagi unik seiras dengan visi kami.

Muzik, Drama dan Irama merupakan intipati persembahan Sang Singa Purba dan telah digabungkan untuk menjadi 'Muzikarama', sebagai nama pementasan tahunan kami.

Dengan berkat kerjasama Persatuan Bahasa Melayu Singapura, Sang Singa Purba diketuai Nur Huda Khamis, Siti Zalinah Adam, Khairul Anuar, Md Ariffin Omar dan beberapa anggota yang baru bersama setuju untuk mengorak langkah dengan memberikan penghormatan pertama kepada Insan Seni yang amat berbakat, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, yang telah banyak memberikan inspirasi kepada kami.

Muzikarama I: Di Manakan ku cari ganti? merupakan suatu kisah yang menggabungkan kaitan diantara filem-filem yang pernah dilakonkan Allahyarham. Siap dengan irama, pakaian dan tarian dari era 50-an, Sang Singa Purba telah berjaya menyemarakkan lagi arena teater di antara ins
titusi pengajian tinggi setempat. Presiden Perkamus (COMPASS) yang juga merupakan rakan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Encik Yusnor Ef telah sempat serikan pementasan Sang Singa Purba yang pertama ini.
2005 // Pelancaran Taman Warisan
Sejurus pelancaran buku Encik Abdul Ghani Hamid, Sang Singa Purba sekali lagi dijemput untuk memeriahkan majlis pelancaran Taman Warisan (Malay Heritage Centre) yang telah siap dibina lengkap pada bulan Jun 2005.

Kali ini, Sang Singa Purba diminta untuk mementaskan "Dot.Dot.Dot" tetapi kepada khalayak ramai di pentas terbuka. Acara pelancaran Taman Warisan dianjurkan juga sempena Festival Seni Singapura membuat Sang Singa Purba merasa sungguh terkilan untuk berada di pentas yang sama dengan beberapa kumpulan Melayu Singapura yang ternama.

Taman Warisan dan kawasannya kini berdiri sebagai sebuah tempat simbolik dan bermakna pada ramai ahli Sang Singa Purba yang membuka acara gah itu.


2005 // Majlis Pelancaran Buku 'Petikan Rasa' & Pameran Lukisan Abdul Ghani Hamid
Pihak Asas 50 telah menjemput kumpulan Sang Singa Purba untuk memeriahkan lagi majlis pelancaran buku "Petikan Rasa" dan juga pameran lukisan penulis dan pelukis unggul Singapura, Encik Abdul Ghani Hamid.

Selain dari mementaskan lagi naskah berjudul "Dot.Dot.Dot", kumpulan Sang Singa Purba telah diminta untuk deklamasikan sajak khas untuk Encik A.Ghani Hamid. Pelancaran buku & pameran lukisan tersebut telah berlangsung di Hotel Holiday Inn.

2005 // Gema Puisi Artistik
Gema Puisi Artistik, pertandingan yang dianjurkan Maktab Rendah Nanyang, merangkumi pelbagai aspek persembahan kreatif termasuk puisi, lakonan, tarian & muzik. Sang Singa Purba telah berjaya ke pusingan akhir dengan menyatukan ide-ide setiap anggota pada masa itu dan dari situ terciptalah karya "Dot. Dot. Dot." dipena oleh Wan Md Haddad.


Pusingan Saringan: Dot. Dot. Dot

Tema bagi pusingan pertama iaitu "...dan di atas tradisi terbina warisan ku" menyaksikan pelbagai persembahan unik lagi gah dan Sang Singa Purba terasa amat bertuah untuk melayakkan diri ke pusing akhir. "Dot. Dot. Dot." adalah kisah satira mistik tentang kehilangan warisan yang juga diadaptasi dari filem "Anakku Sazali".



Pusingan Akhir: Pelita

Dengan semangat kental yang telah diperolehi semasa pusingan saringan, tema bagi pusingan akhir, "Wawasan" menyaksikan kumpulan yang sama untuk berganding bahu dan melengkapkan kisah Sazali yang telah dipentas dahulu. Naskah "Pelita" ditukil dari ide dalam mesyuarat kami untuk mementaskan cita-cita kanak-kanak kita dahulu. Pedoman dan semangat yang dipentaskan masa pusingan akhir, siap dengan lagu tema 'Pelita Wawasan' menyaksikkan kumpulan Sang Singa Purba mengangkut Piala Naib Juara selepas Sekolah Menengah West Spring.

2004 // Ramadhan 1424 : Iftar!
Setelah penglibatan dalam dua pementasan, Sang Singa Purba cuba berjinak-jinak dengan karya lakonan layar pula. Ide untuk membuat video khas bagi acara Iftar untuk para-penuntut Politeknik Singapura tercetus dengan adanya kegilaan masyarakat dengan rancangan realiti yang ditayangkan pada masa itu.

Video Iftar! mengikut kisah 2 beradik yang berlainan sikap dengan realiti yang mengejutkan tentang mereka berdua. Hasil karya Nurhuda Khamis, Nadzirah & Md Ariffin itu berjaya menghiburkan suasana Ramadhan. Arahan Wan Md Haddad bersama Nurhuda Khamis telah membawa para pelakon di lokasi-lokasi yang sangat indah pada bulan Ramadhan seperti Perkampungan Melayu, Bazaar Geylang dan juga Bussorah Street. Ini tidak akan berjaya tanpa Penyunting Khas bagi video itu iaitu, Nurazhar Taher. Video Iftar telah dipamerkan pada acara iftar yang dianjurkan Persatuan Bahasa Melayu Politeknik Singapura.
2004 // Awallah Dondang I : Tersimpul Satu
Berkat inisiatif pihak Universiti Teknologi Nanyang bersama Maktab Pengajian Kebangsaan (NTU/NIE) untuk menyemarakkan lagi sidang teater di Singapura, menyatukan beberapa Kelab ataupun Persatuan Melayu dari pelbagai Maktab Pengajian. Ini termasuk Sang Singa Purba yang dijemput khas untuk berlakon dan mengarah beberapa adegan bersama pihak PERBAYU.


Awallah Dondang 2004 - Tersimpul Satu, hasil karya pelajar dari NTU/NIE, mengisahkan perselisihan faham diantara anggota sebuah keluarga Melayu. Dengan unsur adegan fantasi dan mistik, ia mampu merobohkan bumbung Pusat Konvensyen Politeknik Singapura itu dengan telatah humor dari para pelakon Sang Singa Purba dan juga para pelakon Institusi lain.
2004//
Pentas Pujangga: Berhak Atas Sebab, Berjuang Atas Keadilan

Pementasan Sang Singa Purba yang pertama telah muncul sebagai Juara Pentas Pujangga 2004 dan diberi judul "Berhak Atas Sebab, Berjuang Atas Keadilan". Naskah tersebut telah dipena oleh Siti Zalinah Adam & penasihat kami, Noor Hasnah Adam.


Kisah yang menerapkan isu moden Melayu Singapura dengan Sejarah Melayu iaitu kisah Tun Fatimah, membahaskan erti hak kaum wanita. Kesan dan gerakkan khas yang direka cipta untuk pertandingan Pentas Pujangga tersebut memainkan peranan penting dimana Sang Singa Purba merangkul Anugerah Arahan Terbaik dan juga Pementasan Paling Kreatif. Pentas Pujangga telah dipentaskan di Pusat Budaya Universiti Kebangsaan Singapura dan dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura.

Kemenangan Sang Singa Purba merupakan satu batu lonjatan di mana lebih ramai telah mengenali kumpulan kita dari pihak media massa seperti lelaman AnakMelayu.com dan juga akhbar harian, Berita Harian.

Sila klik sini dan sini untuk membaca artikel-artikel tersebut.

 

Archive
Welcome and feel free to screen through our past performances!

Why is it in Malay? We're a Malay Theatre Group and we aim to promote the beauty of the Malay Language to everyone!
Terima Kasih.

For event photos, please do proceed to Gallery.


Brace yourself for our AKAN DATANG : SEASON 2008 - 2009


 

© Sang Singa Purba Performing Arts
Singapore Polytechnic
All Rights Reserved 2008